BERITA: Honda Civic Type R baru keluar kedai sudah kemalangan!

Oleh: Barjoyai

Honda Civic Type R kini dilancarkan dengan model terbarunya yang berkuasa Turbo. Harga sekitar USD 35,000 kalau harganya di Malaysia yang recond pun sudah lebih RM 210,000!.

Malang bagi pemuda ini apabila ianya baru sahaja dibeli dan tidak sempat sampai pun ke rumahnya.

20476127_10213446720303577_5393691715952777574_n.jpg

Dilaporkan pemandu dibelakangnya gagal mengawal kenderannya dan merempuh beliau dari belakang. Akibatnya Civic Type R tersebut melanggar pula kenderaan di hadapannya. Ini merupakan Civic Type R yang ke -8 dilaporkan kemalangan di US.

20476604_10213446720223575_2263158475609607986_n.jpg

Civic Type R ini ialah varian lain sedikit dimana yang ini lebih terkini dan dilancarkan di Eropah dan Amerika Syarikat terlebih dahulu. Walau apa pun ianya kereta idaman penggemar Honda berikutan ianya salah satu Type R yang pertama di datangkan dengan iVTEC dan Turbo.

Sumber: NWP4LIFE melalui Imgur

 

 

 

RESEPI: Resepi Ayam Masak Kukus Yang Mudah Dan Sedap Sangat

oleh : jariEmas

Hari ini saya akan berkongsi Resepi Ayam Masak Kukus Yang Mudah dan Sedap Sangat bagi kawan-kawan semua. Okey, kita semak langsuk resepinya…

Bahan-bahan:

  • 500 gm ayam
  • 1 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 inci halia muda
  • 1 batang serai (dititik)
  • Sedikit daun sup/bawang diracik halus
  • Garam secukup rasa

Bahan Untuk Sos:

  • 1 sudu kecil minyak bijan
  • 1-2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu kecil kicap pekat
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Sedikit jus lemon (jika perlu sahaja ikut pada selera masing-masing)

Cara Penyajian:

  1. Masukkan air ke dalam periuk kukus bahagian bawah sekali dan biar diatas api , tunggu sehingga air agak mendidih. Bentuk periuk kukus adalah bertingkat-tingkat. Bahagian bawah adalah untuk mengisi air dan 2-3 bahagian atas lagi adalah untuk diletak pinggan/mangkuk yang diisi makanan yang nak dikukus.
  2. Mayang bawang putih, bawang merah , halia dan titik serai . Taburkan sedikit bahan yang dimayang ini ke dalam mangkuk yang akan diletakkan ikan nanti.
  3. Bersihkan ayam serta masukkan semua ayam dalam yang sesuai dan taburkan semua bawang serta halia n serai tadi diatas ikan.
  4. Tuang atau curahkan semua bahan sos yang dicampur dengan sedikit air secara sekata di atas ayam dan sekeliling ayam . Taburkan daun sup atas ayam .
  5. Masukkan mangkuk yang berisi ayam ini ke dalam periuk bahagian atas periuk kukus.
  6. Bila air sudah agak panas boleh la disatukan periuk bahagian atas ini dengan bahagian bawah periuk kukus. Biarkan ayam masak selama 30 – 40 minit dan jika kurang masin boleh ditambah garam .
  7. Bila ayam dah masak buka penutup periuk dan biarkan seketika sampai mangkuk agak sejuk, baru la diangkat keluar mangkuk ini dari periuk kukus.

Semoga Resepi Ayam Masak Kukus Yang Mudah dan Sedap Sangat yang saya share ini bermanfaat dan sampai jumpa di artikel berikutnya. Semoga berjaya dan bisa mencuba resepi ini at home. Terima kasih.

🐓🐓 Blog ini mengkongsikan pelbagai resepi-resepi masakan, terutama masakan yang diperbuat daripada ayam. Sumber dari blog ini di dapat dari sahabat handai dan juga resepi yang diperolehi daripada surfing di alam internet. Semua data atau maklumat yang disediakan di Resepi Ayam Sedap hanya semata-mata digunakan sebagai bahan rujukan sahaja. Terima Kasih 

sumber : resepiayamsedap.com

TIPS: Jimat duit beli sendiri import barang dari China

Oleh: Barjoyai

Kali ini admin ingin kongsikan, banyak barang-barang elektronik, peralatan rumah, perkakasan handphone atau apa-apa yang anda fikirkan untuk dibeli, boleh dibeli direct secara import di laman web ini.

  1. Aliexpress.com

ali1.png

Dilancarkan pada tahun 2010, aliexpress merupakan laman web membeli belah daripada negara China yang besar dan terkenal selepas eBay, Amazon dan lain-lain. Ianya daripada syarikat gergasi Alibaba dimana aliexpress dikhususkan untuk pembelian individu mahupun syarikat kecil yang tujuannya untuk sasaran pembeli luar China. Laman web ini menggunakan sepenuhnya Bahasa Inggeris dan tiada masalah komunikasi rata-rata dari pengalaman lebih dari 5 tahun membeli belah dari sini.

Antara kelebihan membeli barang disini ialah,

a) harga nya murah dan kompetitif daripada dibeli di dalam negara

b) majoritinya pembelian boleh didatangkan dengan pos percuma (tapi lambat sikit sampai)

c) ada money back guarantee atau refund jika pengguna tak puas hati atau barang tak sampai.

ali3.png

Setakat ini, pembelian jika posnya percuma, ianya akan tiba di Malaysia dan serahan dibuat melalui Pos Malaysia. Buat masa ini jika produk yang dibeli bernilai kurang dari RM 500, tiada cukai kastam dikenakan. Untuk pengeposan percuma jika dipilih, barang akan tiba seawall 7 hari kerja sehingga 45 hari kerja. Jika, lebih lama dari masa yang ditentukan, anda boleh membuat tuntutan duit semula tanpa sebarang masalah langsung. Aliexpress sebagai orang tengah dan akan melindungi pengguna.

Anda boleh membuat pembayaran melalu kad kredit atau kad debit. Di bahagian carian, carilah apa-apa yang dihajati untuk dibeli, kebanyakkan masa ada barangnya dari ratusan atau ribuan penjual yang berbeza. Boleh lah disusun (sort) ikut harga terendah atau rating tertinggi. Ya, memang ada laman web lain pembelian dari China seperti yang popular taobao, adakalanya harga yang ditawarkan murah sikit dari Aliexpress, tetapi laman web berkenaan 100% Bahasa Cina dan anda perlukan translator yang baik untuk terjemahannya. Satu lagi, money back guarantee dan buyer protection mungkin ada sikit masalah, tetapi untuk ketenangan fikiran, membeli di Aliexpress setakat ini dijamin 100% selamat.

BERITA : Jagung bijian kekayaan baharu

oleh jariEmas

Penduduk di Kampung Dadong Kemaman, Terengganu sekali lagi mencipta sejarah sebagai model atau contoh inisiatif program pembangunan jagung bijian yang mula menampakkan bibit-bibit kejayaan.

Buat kali kedua, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shbery Cheek mengetuai majlis penuaian jagung bijian bersama penduduk kampung sempena Seminar Pembangunan Industri Jagung Peringkat Kebangsaan 2017 di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Projek tersebut merupakan inisiatif Jabatan Pertanian sejajar dengan hasrat Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan.

Beliau berulang kali mengingatkan bahawa kejayaan awal itu adalah permulaan kepada usaha berterusan kementeriannya untuk menjana kekayaan baharu terutama dalam kalangan penanam dengan penambahan pendapatan dan kadar guna tanah menerusi sistem giliran antara jagung dan padi. Dengan import jagung makanan ternakan mencecah empat juta tan setahun bernilai RM3.1 bilion, ia menjadi beban dalam imbangan dagangan (BOT) sektor pertanian.

Projek penanaman jagung bijian tersebut mula dilaksanakan tahun lepas dan disambung pada tahun ini. Pada tahun lalu, seluas 13 hektar (ha) jagung bijian ditanam dan 3.46 ha dituai dengan jumlah tuaian 3.706 tan sehektar.

Malah, Ahmad Shabery menunjukkan keceriaan apabila projek tersebut dikatakan telah melepasi piawaian antarabangsa iaitu kadar lima tan metrik sehektar.

“Dengan kejayaan ini, kita berjaya memecahkan halangan psikologi kononnya Malaysia tidak boleh menanam jagung bijian,” katanya.

Ahmad Shabery seterusnya menjelaskan, model projek perintis di Kampung Dadong akan dikembangkan ke seluruh negara meliputi kawasan seluas 748 hektar.

Kata beliau lagi, jagung yang dihasilkan juga tidak menghasilkan kulat Aspergillus sp yang membawa toksik aflatoksin. Patogen tersebut menyerang biji jagung yang telah masak dan terkena air dan mendatangkan ancaman kepada ternakan.

Beliau menarik perhatian bahawa pada tahun ini, Jabatan Pertanian diberi peruntukan RM7 juta bagi pembangunan industri jagung bijian negara termasuklah pembangunan kawasan negara serta penyediaan mekanisasi dan automasi.

Daripada jumlah itu, peruntukan sebanyak RM4.19 juta diagihkan kepada Pejabat Pertanian Negeri bagi membantu usahawan atau petani yang mengusahakan penanaman jagung bijian melibatkan 314 orang. Jabatan Pertanian juga dari semasa ke semasa sentiasa berusaha mencari kawasan baharu untuk pengeluaran jagung bijian dan bekerjasama dengan jabatan dan agensi lain dalam mengenal pasti lokasi-lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai ladang jagung bijian.

Projek tersebut dilaksanakan dengan pendekatan beberapa model yang telah dan sedang dikenal pasti termasuk usaha sama antara syarikat dan syarikat dengan usahawan.

Beberapa agensi kementerian seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memberi bimbingan dan khidmat nasihat.

Projek pembangunan industri jagung bijian itu akan diteruskan bagi tempoh 2016-2020 untuk mencapai sasaran keluasan 20,000 hektar menjelang 2020.

Jabatan Pertanian bimbing petani 

Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Mohd. Nasir Warris berkata, usaha penanaman jagung bijian berdepan beberapa cabaran antaranya faktor cuaca, ancaman tikus dan babi hutan.

Namun katanya, berkat sokongan pelbagai pihak, semuanya telah diatasi seperti pemasangan pagar elektrik bagi mengatasi masalah babi hutan dan memasang sarang burung pungguk jelapang bagi mengawal tikus.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek juga sentiasa mengambil berat perkembangan projek tersebut termasuk menghantar beberapa jentera bagi membolehkan ia dilaksanakan menggunakan kaedah mekanisasi sepenuhnya.

“Yang lebih penting, projek ini diterajui J3K dengan diketuai Wan Mamat Wan Ismail dan kumpulannya yang memberi sokongan menjadikan projek ini semakin menampakkan kejayaan,’’ ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, pada tahun ini kerja-kerja penanaman bermula pada 23 Mac lalu, yang melibatkan kawasan 30 hektar di 42 lot sawah dengan penglibatan seramai 27 petani.

Kerja-kerja penanaman dijalankan secara berfasa-fasa bagi memudahkan pengurusan penanaman dan aktiviti penuaian dengan jarak tanaman adalah 75 sentimeter (cm) x 20 cm dengan bilangan pokok sebanyak 66,666 sehektar.

Varieti jagung bijian yang digunakan adalah GWG 888 dan diperoleh daripada sumber tempatan.

“Kesemua kerja berkaitan bermula daripada penanaman benih jagung sehinggalah kepada penuaian dilaksanakan secara mekanisasi. Projek tersebut juga dilaksanakan di kawasan-kawasan lain di luar jelapang yang mengamalkan penanaman satu musim,’’ katanya.

Hasil tuaian jagung bijiian daripada projek di Kampung Dadong, akan dikeringkan di loji berdekatan iaitu Stesen Pertanian Ajil, Terengganu.

Jagung bijian yang telah dikeringkan pada tahap kelembapan 14.5 peratus akan dibeli semula oleh pembekal biji benih jagung bijian iaitu Green World Genetics Sdn Bhd. pada harga pasaran semasa.

Projek tersebut diharapkan lebih berjaya pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya dan dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya enam tan metrik sehektar setahun.

Sepanjang tempoh penanaman, antara program yang dilaksanakan bagi membantu petani di Kampung Dadong adalah lawatan ke petak tanaman dan sesi demonstrasi penuaian jagung menggunakan combine harvester.

Sesi demonstrasi penuaian dilaksanakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta, di samping melihat dengan lebih dekat pengendalian lepas tuai tanaman jagung tersebut.

Jentera penuai yang digunakan mempunyai kapasiti tangki sebanyak dua tan dan mampu menuai kawasan seluas dua ha sehari dan mampu meleraikan tongkol jagung.

Rentetan daripada projek rintis di kampung berkenaan, tumpuan seterusnya adalah perluasan ke beberapa kawasan lain yang di kenal pasti sebagai tambahan kepada kawasan sedia ada.

Peruntukan sebanyak RM10 juta telah diagihkan bagi perluasan projek rintis jagung bijian ini. Peruntukan itu bagi tujuan pembangunan tanaman jagung bijian sebanyak RM5 juta, mekanisasi (RM2 juta), pengawalan kualiti (RM2.5 juta, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti jagung sebanyak RM500,000.

Tanah sawah yang digunakan di Kampung Dadong itu adalah di luar jelapang dan merupakan projek perintis penanaman.

Penanaman padi dalam kawasan luar jelapang itu hanya dijalankan sekali setahun, iaitu dari bulan Februari hingga Jun. Justeru petani boleh menggunakan tanah tersebut untuk bertanam jagung dari Jun hingga Oktober. Ini akan memberikan pendapatan tambahan sekitar RM1,000 sebulan untuk setiap hektar yang mereka usahakan.

Jika Model Penanaman Jagung Kemaman ini terbukti berjaya, KPIAT akan memperluasnya ke kawasan-kawasan sawah luar jelapang yang lain di Malaysia, yang kini dianggarkan seluas 164,000 hektar.

Selain itu, kementerian juga menyasarkan untuk mengguna pakai tanah terbiar, yang dianggarkan seluas 120,000 hektar, untuk tujuan yang sama.

Setiap tahun Malaysia mengimport jagung bijian untuk makanan ternakan bernilai RM3.1 bilion.

Jika sebahagian jumlah ini dapat ‘didomestikkan’, negara bakal mewujudkan satu ekosistem industri baru, yang memberi peluang besar kepada pengusaha di sepanjang rantaian nilainya, termasuk benih, penanaman, baja, penuaian, pengeringan, pengumpulan, pemprosesan, logistik, penjualan, pengeksportan dan pembiayaan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

BERITA: KR1M: Mydin sedia ditamatkan kontrak

oleh jariEmas

KUALA LUMPUR 30 Julai – Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) akur sekiranya kerajaan mahu menamatkan kontrak syarikatnya sebagai pengendali pasar mini harga rendah itu.

AMEER ALI MYDIN

Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, hal itu memang terkandung dalam perjanjian yang mana kerajaan berhak menamatkan kontrak Mydin jika syarikat itu gagal memenuhi hasrat menjayakan KR1M yang bertujuan menawarkan harga barangan runcit pada harga rendah.

“Tidak dinafikan terdapat barangan yang tidak boleh dielakkan daripada dikenakan harga yang lebih tinggi berbanding diharapkan. Tetapi tindakan itu dibuat atas alasan tertentu terutama tekanan ekonomi serta tanggungan pelbagai kos logistik.

“Kami telah memberi komitmen 100 peratus bagi menjayakan program ini, namun akan akur sekiranya kerajaan mahu menamatkan kontrak syarikat. Kami rela hati melepaskan KR1M dan diberikan kepada pihak-pihak yang berminat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menamatkan segera kontrak syarikat mengendalikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menjual produk jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan memberikan peruntukan kepada syarikat ber­kenaan untuk memastikan produk yang dijual le­bih murah.

Pada masa sama, kata Ameer, pelancaran KR1M merupakan salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mydin untuk membantu kerajaan menjaga kepentingan rakyat dan program sedemikian tidak memberi keuntungan kepada syarikatnya.

Pada Disember lalu, kajian oleh agensi penarafan tempatan, RAM Ratings menunjukkan Mydin mencatatkan kerugian sebelum cukai sekitar RM170 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2016 atas beberapa faktor berkaitan tekanan ekonomi.

© Utusan Melayu (M) Bhd

AUTO: Lampu / LED pasang waktu siang?

Oleh: Barjoyai

Dahulunya kereta hanya bergantung kepada lampu besar hadapan, lampu belakang, signal, dan reverse. Kini banyak syarikat automotif mengeluarkan kenderaan mereka yang dilengkapi dengan lampu di waktu siang seperti motorsikal. Lampu ini boleh ada dalam bentuk lampu biasa (kuning halogen) atau pun yang lebih popular LED. Lampu ini dikenali sebagai ‘daytime running light’ (DRL).

Pengertian Lampu DRL Fungsi Dan Manfaat Lampu DRL

Fungsi utama lampu ini ialah untuk memberikan keselamatan untuk kenderaan ini lebih ‘nampak’ di waktu siang. Sama juga fungsinya seperti motorsikal yang mewajibkan lampunya dibuka waktu siang. Lampu DRL yang banyak didatangkan dengan lampu LED hanyalah terhad penggunaannya di waktu siang sahaja, ianya tidak cukup terang untuk waktu malam. Lampu DRL ini akan malap sedikit jika lampu besar dihadapan dibuka dimana lampu besar ini lebih memainkan peranan daripada lampu DRL pada waktu malam.

Bagi kenderaan lama, anda boleh menambah sendiri sebagai aksesori tambahan untuk menjadikan kenderaan anda ada DRL di waktu siang. Untuk jenama yang bagus eloklah dibeli dengan jenama yang terkemuka lampu automotif seperti dari Philips dan Osram.

Resepi: Sambal cili sotong

Oleh: Barjoyai

Bahan bahan:

600g sotong – cuci dan potong cincin
1 biji bawang besar – belah dua dan hiris kasar.
1 keping asam gelugor

Bahan Kisar:
Segenggam cili api
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
2 batang serai – hiris nipis
2 helai daun kunyit – hiris nipis

 

Cara cara:

  1. Didihkan air dalam periuk. Bila dah mendidih, masukkan sotong selama 2 minit aje. Kemudian sejatkan.
  2. Dalam kuali, panaskan sedikit minyak. Tumis bahan kisar hingga wangi dan agak garing.
  3. Masukkan asam keping.
  4. Masukkan sotong celur, bawang besar, garam dan sedikit serbuk perasa. Gaul rata.
  5. Bila bawang besar sudah layu, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Sumber: Resepi Cikgu Ani

RESEPI: Telur goreng dadar

Oleh: Barjoyai

Bahan bahan:

3 biji telur ayam
1 biji cili merah – dicincang kasar
1 biji bawang besar – dipotong dadu
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh serbuk lada sulah.

 

Cara cara:

Di dalam mangkuk, gaul sebati semua bahan dengan menggunakan garfu.
Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Masukkan adunan telur ke dalam kuali, masak menggunakan api yang perlahan aje. Bila bawah telur sudah kekuningan, terbalikkan telur. Biar hingga masak. Bolehlah dihidangkan.

Sumber: Resepi Cikgu Ani

RESEPI: Ayam masak merah ringkas

 

Oleh: Barjoyai

Bahan bahan:

1/2 ekor ayam – bubuh garam kunyit dan goreng hingga masak
4 sd mkn cili kisar
3 sd mkn sos cili
3 sd mkn sos tomato
1 biji bawang besar – potong bulat
1 biji cili merah – potong 3, pastu hiris memanjang

Bahan Tumbuk:
1 cm halia
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar

 

Cara cara:

  1. Dalam kuali, tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar, tumis hingga pecah minyak dan agak garing.
  3. Masukkan sos cili dan sos tomato, tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya, gaul rata.
  5. Masukkan bawang besar dan cili merah, kacau hingga bawang dan cili agak layu.
  6. Perlahankan api, masukkan ayam goreng. Gaul hingga kuah menyaluti ayam.
  7. Padam api dan sedia untuk dihidangkan.

Sumber: Resepi Cikgu Ani

Blog di WordPress.com.

Atas ↑